Isnin, 29 Ogos 2011

Selamat Hari Raya(Hari Raya Menurut Sunnah Nabi)



Setelah genap sebulan Umat Islam berhempas pulas menjalankan ibadah berpuasa, kini tibalah masanya meraikan kejayaan itu dengan penuh kegembiraan dan kemeriahan. Seluruh Umat Islam di Dunia dan Malaysia khususnya meraikan sambutan Eidul Fitri dengan bentuk dan adat yang berbeza,. Bagi rakyat Malaysia sambutan Eidul Fitri disambut dengan acara ziarah menziarahi sanak saudara dengan memakai pakaian yang terbaik dan cantik-cantik. Seluruh ahli keluarga berhimpun dan berkumpul bersama.  Sebaliknya Umat Islam di sebahagian Tanah Arab pula meraikan cuti  umum hari raya dengan membawa ahli keluarga keluar makan, tidak kurang juga yang pergi  berkelah dan bersiar-siar. Apa pun jenis dan cara sambutan mereka, kesemuanya pasti menyambut hari raya dengan penuh kegembiraan dan keseronokan.

Di sebalik kemeriahan sambutan Eidul Fitri, Islam telah meletakkan garis panduan berkaitan tatacara menyambut  hari kebesaran. Inilah masa untuk kita semua membuktikan bahawa kita benar-benar telah menjadi seorang insan yang bertakwa selaras dengan natijah ibadah berpuasa itu disyariatkan. Junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w turut sama meraikan hari lebaran ini dengan penuh kegembiraan dan keseronokan. Hal ini boleh dilihat dengan tindakan Rasulullah s.a.w sendiri membenarkan penduduk Madinah al-Munawwarah bergembira apabila munculnya hari raya Eidul Fitri  dan Eidul Adha. Anas bin Malik r.a berkata:

"Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah pada kedua-dua hari itu. Lalu baginda berkata: Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Sabdanya lagi: Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” ( Hadis Riwayat al-Nasaai)

Persoalan yang timbul ialah sejauh mana kesedaran kita selaku Umat Islam memastikan tatacara kita meraikan hari lebaran ini tidak bercanggah daripada anjuran dan sunnah baginda Rasulullah S.A.W.




Amalan Bertakbir
Amalan bertakbir pada 1 syawal merupakan amalan yang disyariatkan  Bermula sebaik sahaja terlihatnya hilal  (maghrib 1 syawal ) dan berakhir sehingga imam selesai berkhutbah di pagi Syawal. Firman Allah S.W.T:
"Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur." 
 Surah al-Baqarah : 185
Ketika seluruh kaum keluarga berkumpul beramai-ramai pada malam hari raya, ramai yang melupakan anjuran bertakbir. Kita lebih selesa menonton rancangan –rancangan hiburan di kaca televisyen, tidak kurang juga  yang berkesempatan berkaraoke sehingga larut malam. Jika ditinjau di masjid-masjid sebenarnya tidak ramai yang memanfaatkan peluang yang ada menyertai jemaah malaungkan kalimah agung yang suci ini.

Satu perkata yang perlu ditekankan juga ialah anjuran Rasulullah agar Umat Islam bertakbir dengan suara yang lantang ketika dalam perjalanan dari rumah menuju ke tempat menunaikan Solat Sunat Eidul Fitri walaupun kebanyakan Umat Islam memandang remeh sunnah ini. Bertakbir dengan cara sebegini antara lain sebenarnya bertujuan menyerlahkan keagungan syiar Islam di samping menjadi contoh kesepakatan umat Islam  di mata masyarakat bukan Islam.




Lafaz Ucapan Hari Raya
Lafaz ucapan hari lebaran seperti “Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin” sudah menjadi sinonim bagi Umat Islam di Malaysia. Namun, cara dan lafaz yang lebih bertepatan dalam  meneladani sunnah Baginda ialah berdasarkan apa yang diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair katanya:

“Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian daripada mereka mengucapkan kepada sebahagian yang lain dengan ucapan  ‘Taqabbalullah minna waminka’ (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu).”


( Kitab Fath al-Bari)

                              
Justeru, mulai daripada syawal 1431h pada tahun ini, adalah tidak salah kita mulakan lafaz hari lebaran dengan ucapan indah yang bertepatan dengan anjuran sunnah Rasulullah S.A.W.
ETAKA PEMAKAIAN


Umum mengetahui,  merupakan satu sunnah kaum muslimin menghiaskan diri dengan pakaian terbaik dan tercantik pada hari raya. Imam Syafie menyebut di dalam Kitab al-Umm:

"Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian."


Adapun bagi  kaum wanita pula walaupun sunnah hukumnya memakai pakaian yang terbaik, namun mereka hendaklah mengelakkan diri daripada  memakai pakaian yang boleh menarik perhatian kaum lelaki seperti pakaian yang  terlalu bercorak-corak, pakaian nipis yang menampakkan bentuk tubuh badan  serta perhiasan yang berlebih-lebihan. Mereka juga dilarang sama sekali memakai wangi wangian yang berlebihan sehingga menarik perhatian orang disekelilingnya. Sabda Rasulullah s.a.w:

"Mana-mana wanita yang memakai wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat menghidu kewangiannya, dia adalah penzina."  (HadisdiriwayatkanAn-nasai)

Realiti yang berlaku, ramai para wanita yang tidak pandai mengukur had-had dan etika pemakaian mereka ketika berhari raya sehingga ramai yang kelihatan berpakaian tetapi sebenarnya mereka bertelanjang. Dalam keadaan ini, pahala sunnah yang diharapkan bertukar menjadi dosa jika tidak dipelihara batasan-batasannya..


Selamat Hari Raya (Hari Raya Menurut Syariat Islam)


`AIDUL FITRI berasal dari perkataan `aid, adalah diambil dari kata al-`audu (kembali), manakala fitrah membawa maksud kemurnian dan kesucian. Pada hari tersebut kaum muslimin kembali menikmati tahun kembalinya kebahagiaan dengan kemurnian dan kesucian, lantaran banyaknya anugerah Allah kepada hambaNya di hari itu.

Pada Hari Raya `Aidil Fitri, ummat Islam disunatkan menunaikan solat sunat Aidil Fitri secara berjamaah. Menurut Imam Taqiyuddin Al-Hussaini, dalam kitabnya Kifayatul Akhyar, bahawa Rasulullah s.a.w. pertama kali melakukan solat hari raya adalah Solat Hari Raya Aidil Fitri di tahun ke 2 Hijrah dan pada tahun itu juga telah difardukan Zakat Fitrah kepada ummat Islam, demikian pandangan Imam Al-Mawardi.
HUKUM SOLAT `AIDIL FITRI

Hukum menunaikan solat Hari Raya Aidil Fitri itu adalah sunat, hal ini berdasarkan pertanyaan seorang Arab Badwi ( A'rabi ) kepada Rasulullah :
                   
"Apakah ada kewajipan selain solat lima waktu ? Jawab Rasulullah : Tidak ada, melainkan ia dituntut melakukannya (tathawwu`a).

Solat Aidil Fitri hendaklah ditunaikan antara terbit matahari sehingga tergelincirnya matahari, menurut pendapat pertama. Pendapat yang kedua mengatakan bahawa belum masuk waktu apabila metahari belum naik kadar segalah. Qaul yang shahih adalah pendapat yang pertama.

Sembahyang Hari Raya, dilakukan dengan dua rakaat, kerana adanya dalil-dalil dan ijmak ulamak. Sembahyang Hari Raya Fitri atau Hari Raya Adha disertai pada rakaat pertama 7 kali takbir dan 6 kali tahmid. Pada rakaat kedua disertai pula 5 kali takbir dan 4 kali tahmid.

Diriwayatkan bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w bertakbir pada salat Hari Raya Fitri dan Hari Raya Adha pada rakaat yang pertama tujuh kali sebelum membaca Al-Fatihah, dan pada rakaat yang kedua lima kali sebelum membaca Al-Fatihah. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam At-Tarmizi dan beliau mengatakan bahawa martabat hadis ini hasan. Imam Bukhari mengatakan pada bab ini bahawa tidak ada hadis yang lebih sahih daripada hadis ini.

Di antara tiap-tiap dua takbir hendaklah berhenti sejenak sekira-kira cukup untuk membaca suatu ayat yang sederhana panjangnya dengan membaca tasbih, tahmid dan tahlil. Amalan berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Al- Baihaqi dari Ibnu Mas'ud yang berbentuk perbuatan (Hadis Fi'li).
 Tasbih ertinya membaca "Subhanallah". Tahmid ertinya membaca "Alhamdulillah". Tahlil ertinya membaca "Laa ilaaha illallaah wallahu Akbar ". Di dalam bacaan ini terkumpul bermacam-macam zikir yang diperintahkan di dalam salat. Bacaan ini juga dinamakan Al-baqiyatus Shalihat sebagaimana yang dikatakan oleh Ibnu Abbas dan sebahagian Ulama’. Seandainya seseorang imam terlupa bertakbir dan langsung membaca Al-Fatihah, maka hilanglah kesunnatannya.

Pada salat Hari Raya hendaklah imam membaca Al-Fatihah pada rakaat yang pertama, diikuti membaca pula Surah Qaaf selepasnya dan pada rakaat yang kedua membaca Surah Al-Qomar hingga akhirnya. Demikianlah menurut riwayat Imam Muslim.

Bacaan Al-Fatihah dan surah hendaklah dikuatkan bacaannya, kerana hukumnya sunnat menurut ijmak ulama'. Demikian pula digalakkan menguatkan bacaan takbir, tasbih dan tahmid.

Setelah salat selesai disunatkan berkhutbah dengan dua khutbah, berdalilkan hadis yang diriwayatkan oleh

 Imam Bukhari dari Ibnu `Umar r.a : "Bahawasanya Rasulullah s.a.w, Abu Bakar dan Umar selalunya melaksanakan Salat Hari Raya sebelum khutbah "


Jadi seandainya imam berkhutbah sebelum salat, maka khutbahnya itu tidak dianggap sah menurut qaul yang sahih yang dinaskan oleh Imam Syafi'i. Pengulangan khutbah itu diqiaskan dengan khutbah Jumaat. Dalam masalah ini tidak ada hadis yang tetap menurut kata Imam An-Nawawi di dalam kitab Al- Khulasah.

Pada khutbah yang pertama disunatkan memulainya dengan takbir sembilan kali, manakala pada khutbah yang kedua disunatkan memulai dengan takbir tujuh kali.

TEMPAT MELAKSANAKAN SOLAT `AIDIL FITRI

Salat Hari Raya itu boleh dilakukan tempat lapang. Jika solat `Aidil fitri dilakukan di Makkah, maka di Masjidil Haram adalah lebih utama, tanpa ada khilaf. Syeikh As-Shaidalani menyamakan kedudukan taraf Masjid Al-Aqsa, Baitul Maqdis dengan Masjidil Haram. Bagi tempat selain Makkah, adalah lebih baik dilakukan di tempat lapang, terutamanya ketika keadaan masjid yang penuh sesak, bahkan ketika itu (masjid penuh sesak) adalah manjadi makruh sembahyang di masjid, menurut sesetengah pendapat ulama' Syafi`iyyah. Jika ada keuzuran seperti hujan, maka di masjid adalah lebih utama. Akan tetapi jika masjid luas dan mampu menampung keseluruhan jemaah yang hadir, maka mendirikan di masjid adalah lebih utama menurut pendapat yang sohih.

PERLAKSANAAN TAKBIR


Disunatkan bertakbir dan bertahmid, bermula waktu terbenam matahari (maghrib) pada kedua-dua malam Hari Raya `Aidil fitri dan `Aidil Adha. Adalah menjadi suatu `ibadah yang sunat, untuk dilaungkan di masjid, rumah atau di pasar-pasar, supaya dalam keadaan bersesak itu orang ramai akan turut serta bertakbir dan bertahmid bersama. Bahkan digalakkan setiap masa samada ketika waktu malam mahupun waktu siang. Semua golongan samada yang bermukim mahupun yang musafir digalakkan bertakbir dan bertahmid kerana ia adalah syi`ar yang utama bagi umat Islam.

Hal ini telah difirmankan oleh Allah s.w.t. : " Dan hendaklah kamu sekelian mengagungkan Allah atas apa yang telah ditunjukkan oleh Allah kepada kamu sekalian."
 (Al-Baqarah : 185)

Imam Al-Bukhari meriwayatkan hadis Ummu `Athiyah, beliau berkata : " Kami sekalian diperintahkan keluar pada solat dua hari raya sehingga wanita yang haid pun keluar, kemudian menempatkan diri di belakang kaum muslimin, mereka turut bertakbir mengiringi takbir kaum muslimin ".

Sementara dalil takbir bagi Hari Raya `Aidil Adha, hanya diqiaskan dengan Hari Raya `Aidil Fitri. Berakhirnya takbir untuk Hari Raya `Aidil Fitri adalah apabila imam telah takbiratul ihram Solat Sunat Hari Raya, menurut qaul yang shahih.

Apakah takbir itu disunatkan sesudah solat-solat fardu pada Hari Raya `Aidil Fitri? Dalam hal ini terdapat khilaf di kalangan ulama' Syafi`iyyah. Di dalam kitab Ar-Raudhah, Imam An-Nawawi berpandangan bahawa, menurut pendapat yang ashah amalan bertakbir sesudah solat-solat fardu pada Hari Raya `Aidil Fitri tidak disunatkan, disebabkan tidak ada riwayat yang menyatakannya. Di dalam kitab Al-Azkar, Imam An-Nawawi mensahihkan bahawa sesudah solat-solat fardu pada Hari Raya `Aidil Fitri disunatkan bertakbir, sama seperti amalan di Hari Raya `Aidil Adha. Takbir dan tahmid pada ketika waktu tersebut adalah lebih utama daripada zikir-zikir yang lain, kerana takbir itu merupakan syi`ar Hari Raya.

Justeru itu, setiap ummat Islam hendaklah memastikan dan memelihara kesucian hari perayaan yang utama ini. Hari yang dipenuhi dengan kemurnian dan kesucian ini adalah merupakan anugerah kemenangan dari Allah s.w.t. kepada hambanya yang telah berjaya menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadhan.

 Sabda Rasulullah s.a.w. : Bagi orang yang berpuasa itu akan dikurniakan dua kegembiraan, kegembiraan ketika `Aidil Fitri dan kegembiraan ketika bertemu Allah s.w.t. 
Wallahu'alam

Aidilfitri Menurut Persepsi Islam

Sambutan Aidilfitri dimulai dengan takbir pada malam 1 Syawal. Takbir adalah satu sunnah berdasarkan firman Allah yang bermaksud: 

“...supaya kamu membesarkan Allah (bertakbir) kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya...”
(Surah Al-Hajj, ayat 37) 

Pada malam Hari Raya, kita disuruh bertakbir bagi memuji, mengagungkan dan bersyukur ke hadrat Allah kerana telah mengekalkan kita di atas jalan petunjuknya, berada di dalam nikmat iman dan berjaya melaksanakan perintah puasa. Lafaz takbir mengandungi pengertian yang sangat penting dalam menyucikan hati daripada sifat keji, terutama syirik, bongkak dan sombong. Umat Islam disunatkan terus bertakbir bermula selepas Maghrib menjelang malam hari raya pertama hingga imam selesai membaca khutbah selepas solat sunat hari raya keesokannya. 

Dalam ertikata sebenarnya, Aidilfitri merupakan hari meraikan kejayaan bagi orang-orang yang telah melaksanakan ibadah yang dituntut di bulan Ramadan iaitu ibadah puasa. Mereka berhak bergembira menyambut Aidilfitri. Rasulullah (saw) bersabda: 

"Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ada dua kegembiraan, gembira ketika hari berbuka (Aidilfitri) dan gembira ketika bertemu Tuhanmu ". 

Pastinya, cara umat Islam menyambut kegembiraan dan kejayaan ini berbeza dari cara orang-orang bukan Islam menyambut perayaan mereka. Umat Islam ada adab sopan dan peraturan yang perlu dipatuhi sebagaimana kita menjalani hari-hari yang lain. Bagi umat Islam, mereka dianugerahkan oleh Allah dua hari raya, iaitu Aidilfitri dan Aidiladha. 

Anas menceritakan: “ Ketika Rasulullah saw berhijrah ke Madinah, ada dua hari raya yang disambut meriah oleh penduduknya. Maka Baginda bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik daripada itu, iaitu Aidiladha dan Aidilfitri .”

 (Hadis riwayat Abu Daud dan An-Nasa'i) 

Jelas di sini, Aidilfitri bagi umat Islam bukan sekadar satu perayaan, adat atau budaya.
Ia juga bukanlah hari yang direka-reka oleh manusia. Ia merupakan anugerah Allah sebagai tanda kasih dan rahmat-Nya kepada semua hamba-Nya yang taat serta ikhlas menjalankan ibadat puasa di bulan Ramadan.
Dalam kita menyambut 1 Syawal, sayugialah umat Islam semuanya mensyukuri nikmat Allah dengan mengamalkan sikap bersederhana dalam sambutan Aidilfitri. Kita juga dilarang membazir dalam membuat persiapan untuk menyambut Hari Raya. Bagaimanapun, kita disuruh memakai pakaian yang paling baru di Hari Raya terutama ketika pergi ke masjid. “Paling baru” tentulah tidak semestinya bermaksud yang baru dibeli setiap tahun. Jika ada yang lama tetapi masih cantik dan sempurna digunakan tentulah sudah memadai. 
 
Dalam menghias rumah dan menyediakan makanan juga, umat Islam dituntut agar tidak berlebih-lebihan, apatah lagi jika ada saudara-saudara kita yang menyambut Hari Raya dalam keadaan serba kekurangan. Firman Allah bermaksud:

 "Janganlah kamu membazir. Sesungguhnya orang-orang yang membazir adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu kufur terhadap Tuhannya". 
(Al-Israa': 26-27)

Perkara terpenting dalam menghidupkan syiar Aidilfitri ini ialah kunjung-mengunjung, ziarah-menziarahi dan mempereratkan silaturrahim sesama ahli keluarga, sanak saudara, jiran-tetangga dan juga sahabat handai. 

Firman Allah bermaksud: "Takutilah Allah Subhanahu wa Taala yang kami memohon kepadaNya dan hubungkanlah silaturrahim.”
(Surah An-Nisa': 1) 

Selamat Hari Raya

Sejarah Hari Raya Aidilfitri


SEJARAH hari raya dalam Islam bermula apabila Rasulullah berhijrah ke Madinah. Baginda mendapati ada dua hari raya yang disambut oleh bangsa Arab pada masa itu. Apabila Rasulullah bertanya kepada mereka apakah dua hari raya itu, mereka segera menjawab bahawa dua hari raya yang mereka sambut itu adalah perayaan yang diwarisi secara turun temurun daripada datuk nenek mereka.
Lalu Rasulullah S.A.W menyatakan kepada orang Arab Madinah bahawa Islam menggantikan dua hari raya yang kamu raikan itu dengan dua hari yang lebih bermakna iaitu Hari Raya korban atau Aidiladha dan Hari Raya Fitrah atau Aidilfitri.

Konsep hari raya dalam Islam jelas menunjukkan bahawa ia adalah perayaan keagamaan. Ini bermakna jika ia disambut di atas landasan agama, maka hari raya yang diraikan itu adalah satu ibadat.

Aidilfitri disambut sebagai suatu kemenangan bagi orang yang dapat mengerjakan ibadat puasa Ramadan dengan sempurna.

Kemenangan itu bukan saja menang kerana berjaya mengawal nafsu makan dan minum selama sebulan pada siang hari sepanjang Ramadan, malah kejayaan menghalang diri daripada melakukan perkara dilarang, di mana jika dilakukan akan terbatal puasanya. Kerana itu Allah menganugerahkan satu hari untuk kita sama-sama meraikan kejayaan daripada kemenangan itu.

Kalimat ‘fitri’ sendiri bermaksud fitrah iaitu dengan kejayaan manusia balik kepada fitrah yang asal. Fitrah asal ini sebenarnya suatu permulaan kejadian manusia yang sememangnya bersih daripada dosa dan noda.

Oleh kerana ia dikatakan sebagai perayaan keagamaan, maka cara menyambut hari raya itu sendiri perlulah mengikut adab dan peraturan tertentu. Apabila saja diumumkan hari raya, maka mulakanlah malamnya dengan aktiviti ibadat. Ini seperti memperbanyakkan solat sunat, bertasbih, bertakbir dan bertahmid sebagai tanda kesyukuran.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Tabrani dari Ubadah bin Soib menyatakan bahawa:

Sesiapa yang menghidupkan malam Aidilfitri dan Aidiladha dengan amalan yang baik dan ikhlas kerana Allah, maka tidak akan mati hatinya pada hari semua hati-hati akan mati, iaitu hari kiamat.”

Pada pagi hari raya dimulakan dengan membersih diri, bersiap-siap untuk ke masjid menunaikan solat sunat Aidilfitri dan seterusnya menghidupkan ukhwah dengan kunjung mengunjung di kalangan saudara mara dan sahabat handai.

Perlu diingat Islam tidak pernah mengajar umatnya agar untuk berlebih-lebih atau melampau batas dalam menyambut apa saja perayaan. Ini bermakna Islam menegah umatnya melakukan pembaziran dalam menyambut hari raya seperti boros berbelanja semata-mata untuk bergaya dengan pakaian mahal dan kuih muih terlalu banyak.